Friday, June 1, 2012

MUSIM KENDURI YANG MEMBEBANKAN WARGA YANG MISKIN




PERGI PUN SERBA SALAH TAK PERGI RASA LAGI BERSALAH..?

DISIPLINKAN DIRI KITA SEBAGAI SEORANG ISLAM AGAR SENTIASA IKUT AL-QURAN DAN AS-SUNAH DALAM SETIAP AMALAN KITA.

Sebagai seorang Islam hendaklah kita sentiasa sedar dan insaf bahawa apa sahaja yang kita lakukan wajib bertepatan dengan ajaran Islam. Termasuklah dalam Bab Walimatul ‘Urus (Kenduri Kahwin) ini.

Kadang-kadang sudah berbuih mulut abah ini mengingatkan, namun adat dan nafsu tetap menjadi pilihan kebanyakan para penganjur Kenduri Perkahwinan.


Ingatlah akan Firman Allah S.W.T. di dalam al-Quran surah al-Maidah : ayat15-16 :

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِمَّا كُنْتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ (١٥) يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Yang bermaksud:

15. Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) Dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) Yang telah kamu sembunyikan dari Kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya.

16. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa Yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) Yang terang-benderang, Dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan Yang lurus.

AGAMA ISLAM AGAMA SEJAHTERA DAN KASIH-SAYANG.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Fath : ayat 29 :

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الإنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Yang bermaksud :

29. Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di Dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi Kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan Yang mengkagumkan orang-orang Yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana Dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar.

PERKAHWINAN DAN BERPASANGAN HIDUP ADALAH BUKTI KEBESARAN ALLAH S.W.T. TERHADAP MAKHLUK-NYA

Allah berfirman Surah An-Nisa’ : ayat 1 :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Yang bermaksud :

Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu Yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri Yang satu (Adam), dan Yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga Yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan Yang ramai. dan bertaqwalah kepada Allah Yang kamu selalu meminta Dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Dan Firman-Nya lagi dalam surah Ar-Rum : ayat 21 :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Yang bermaksud :

21. Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

TA’RIF WALIMATUL ‘URUS MENURUT PARA ULAMA’ ISLAM.

Kata walimah (الوليمة) diambil dari kata asal walmun (الولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagaimana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan selainnya. Bentuk kata kerjanya adalah awlama (أولم) yang bermakna setiap makanan yang dihidangkan untuk menggambarkan kegembiraan (ketika pernikahan). Dan walimatul urus (وليمة العرس) adalah sebagai tanda pengumuman (majlis) untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 3/153-154)

Menurut Imam Ibnu Qudamah dan Syaikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, “Al-Walimah” merujuk kepada istilah untuk makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada upacara (majlis) perkahwinan secara khusus.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486 – Maktabah Syamilah. Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqhus Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-Arba’ah, 3/182 – Maktabah at-Tauqifiyyah, Cairo).

Manakala sebahagian ulama dari kalangan mazhab Ahmad dan selainnya menyatakan, “Bahawasanya walimah merujuk kepada segala bentuk makanan yang dihidangkan bagi meraikan kegembiraan yang berlangsung.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486)

MENGADAKAN WALIMAH KERANA BERSYUKUR BUKAN KERANA INGIN KUTIP WANG DARI PARA JEMPUTAN.

Dari definisi di atas, jelaslah kepada kita bahawa mengadakan Walimatul ‘Urus (Kenduri Kahwin) adalah bertujuan untuk meraikan pasangan Pengantin Baru dengan memberi makan kepada ahli keluarga, sanak-saudara dan juga rakan taulan bagi menunjukkan rasa syukur di atas ni’mat dan keizinan Allah S.W.T. mempertemukan jodoh kita secara sah dan halal dan bukannya untuk bertanding siapa yang lebih hebat, cantik dan kaya serta mampu mengadakan Majlis Kenduri yang meriah dan besar-besaran.

MENGADAKAN WALIMAH MEMANG DISURUH DALAM ISLAM.

Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a, di mana beliau berkata, “Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi s.a.w menjadi seorang pengantin dengannya (Zainab bin Jahsy), beliau mengundang masyarakat, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: al-Walimah, 16/152, no. 4768)

Juga perkataan Nabi s.a.w kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah, “Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: Adakan Walimah Walau Dengan Seekor Kambing, 16/154, no. 4769)

Perkataan Anas r.a di mana beliau menyatakan, “Ketika Rasulullah s.a.w menikahi seorang perempuan, beliau meminta aku supaya mengundang beberapa orang (lelaki) untuk makan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, 16/157, no. 4772)

HUKUM MENGANJURKAN MAJLIS KENDURI PERKAHWINAN.

Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan: “Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan. Ibnu Baththal berpendapat, “Aku tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut”. Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi’i rahimahullah. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus Salam, asy-Syafi’i di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani di dalam Adabuz Zifaf.

Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah: “Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s. 2)

SIAPA SEPATUTNYA MENGANJURKAN WALIMAH.?

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi s.a.w sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas r.a, beliau berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas r.a, beliau menjelaskan: ‘Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”. Rasulullah s.a.w bersabda: “Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadith ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah. Walaupun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi s.a.w sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

TUJUAN SEBENAR MAJLIS WALIMATUL ‘URUS DALAM ISLAM..?

Dari penerangan di atas, tujuan sebenar Nabi S.A.W. menyuruh umatnya mengadakan Walimah adalah sebagai tanda rasa syukur pihak suami dan keluarganya kerana dipertemukan jodoh dan berpeluang melahirkan zuriat yang soleh/solehah dengan izin Allah SWT selepas itu.

Oleh yang demikian sebagai tanda kesyukuran masa pihak keluarga pengantin dan pasangan pengantin itu sendiri semestinya bersedia untuk mengorbankan sebahagian daripada harta mereka untuk memberi makan kepada fakir miskin dan sanak saudara. Juga untuk mengelakkan dari pra sangka dan fitnah, disuruh mereka menghebahkan pernikahan mereka yang sah itu kepada ahli-ahli keluarga, jiran tetangga dan juga orang ramai yag mengenalinya.

TAPI ADAT DAN NAFSU TELAH MENGUBAH STRUKTUR WALIMAH JADI HARAM..?

Apa yang dapat kita saksikan dewasa ini (terutamanya di musim cuti sekolah) banyak pihak begitu ghairah mengadakan Majlis Kenduri Kahwin. Masih ada juga yang bermuwafakat bergulai kawah dan ada juga yang mengupah caterer (tukang masak) secara kontrak. Lauknya beranika ragam dan selera.

Tempat kenduri pula siap dengan khemah beropo (dihias dengan renda sutera berwarna-warni) dan meja tamu yang cukup mewah mencecah ribuan ringgit sewanya. Siap pakai DJ dan pasang lagu-lagu dangdut dan rap pengantin baru. Pak Lebai dan Ustaz yang hadir pun tergoncang iman mereka mendengar lagu-lagu dangdut semasa makan kenuri. Berputar kopiah dan sarban. Apatah lagi yang bersongkok hitam. Lagilah bergetar..! ha..ha..ha..!!!

Termasuklah Pelamin Pengantin, Bilik pengantin dan juga tempahan Baju Pengantin, make-up pengantin (macam burung merak kayangan) sehingga ramai yang tidak menunaikan solat fardu kerana sayangkan make-up di mukanya. Jurugambar pun ditempah juga, sehingga berpeluh pasangan pengantin baru dikerjakannya sampai ke atas katil dalam bilik pengantin.

Bagi kedua ibu/bapa pengantin ada juga yang khodo’ Solat kerana tidak mahu kerugian wang hasil dari kutipan mengelan (duit yang diberi oleh para jemputan kepada keluarga pengantin baru) yang terlalu membebankan para jemputan yang terkena jemputan lebih dari lima tempat sehari (setiap hari). Hendak mengabiskan dua minggu cuti sekolah, hampir kehabisan semua stok gaji bulan lepas. Tidak hendak pergi rasa malu (sebab waris/sahabat) dan bila pergi pula rasa bersalah kalau makan saja-saja. Apa pula orang kata.? Hendak tak hendak korek sana, korek sini pergilah juga (walupun dengan membawa gula dua kilo atau balut hadiah gelas dan jam dinding dari Mydin Super Market atau dari Salam Ku di Lundang, Kota Bharu).

DOAKAN AGAR DAPAT SUAMI DAN ISTERI YANG SOLEHAH.

Sebagai peringatan dari Abah@Ma buat anak-anak semua, janganlah kita mencederakan Majlis Walimatul ‘Urus dengan ‘amalan yang bertentangan dengan ajaran Sunah dan Al-Quran, kerana kelak ia akan memberi natijah yang buruk kepada pasangan dan keluarga yang bakal dibina oleh para pengantin baru. Paling kurang untuk kekal mendapat seorang isteri yang solehah dan suami yang soleh hingga ke akhir hayat. Insya-Allahu Ta’ala.
Ingatlah pesan Nabi S.A.W.  dalam hadis riwayat Muslim :

الدنيا متاع وخير متاعها المرأة الصالحة.

Yang bermaksud :

“Dunia itu adalah perhasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah (isteri).”

“SELAMAT PENGANTIN BARU DARI ABAH@MA BUAT SEMUA..!”

WalLahu A’lam Bissawab.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment